GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

KEMPEN SURAT BANTAHAN:

MINGGU RAKYAT BERSUARA!

29 September 2000

SURAT BANTAHAN : PENGHARAMAN BAHAN PENERBITAN ALTERNATIF

Kami, Inisiatif Manifesto Rakyat, yang terdiri daripada 12 kumpulan badan-badan bukan kerajaan

ingin menyeru kepada semua lapisan masyarakat Malaysia untuk turut serta dalam

bantahan kami terhadap pengharaman percetakan Al–Wasilah dan Ekslusif,

dua penerbitan Melayu yang berupa alternatif dan kritikal.

 

Kedua-dua bahan penerbitan ini masing-masing mula diterbitkan pada tahun 1998 dan 1999,

dan telah menyampaikan maklumat alternatif yang kritikal, tidak memihak kepada

sesiapa dan menganalisis pelbagai perkembangan di negara ini.

Tanpa maklumat alternatif untuk maklumat daripada pihak kerajaan dan sekutunya,

rakyat tidak dapat membuat keputusan yang rasional dan munasabah terhadap polisi-polisi negara

dan kerajaan. Justeru itu, media bebas amat penting dalam memastikan rakyat

berpeluang mendengar suara semua pihak. Dan kedua–dua bahan percetakan

ini telah memainkan peranan penting dalam memberikan pandangan yang kritikal terhadap

media-media utama di Malaysia.

 

Malangnya, suara kritikal seperti ini yang begitu penting

dalam sesebuah masyarakat demokratik, telah diharamkan melalui pelbagai

akta drakonian seperti Akta Percetakan (PPPA). Akta ini memberikan kuasa mutlak kepada

Kementerian Dalam Negeri untuk menarik balik lesen percetakan mana-mana badan percetakan

tanpa alasan. Kita telahpun banyak menyaksikan betapa sukarnya badan percetakan

yang berhubung rapat dengan parti pembangkang memperolehi lesen percetakan ataupun

lesen mereka ditarik balik begitu sahaja. Yang jelas, segala akta yang mendiamkan pengkritik

tidak patut wujud di negara yang demokratik.

 

Kami merayu kepada semua organisasi dan individu yang prihatin supaya menghantar

surat bantahan kepada Menteri Dalam Negeri dan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia

(SUHAKAM). BANTAHAN ANDA amatlah PENTING

untuk pihak berkenaan memahami akan aspirasi sebenar dan keinginan rakyat yang

semakin sedar terhadap keputusan-keputusan kerajaan di negara ini.

 

Kerajaan perlu menyedari bahawa semakin ramai rakyat Malaysia ingin tahu rasional

di sebalik segala keputusannya. Untuk maklumat lanjut tentang pengharaman penerbitan-penerbitan

di atas, sila rujuk kepada laman web yang berikut:

 

 http://putera_idaman.tripod.com/

 

 http://www.malaysiakini.com/archives_news/2000/sept/sept27/news8.htm

 

PASTIKAN suara rakyat dapat didengar pada bila bila masa dan bukan hanya semasa pilihanraya!

Sila hantarkan surat bantahan (faks atau e-mail) sepanjang minggu ini:

MINGGU BANTAHAN: 2-7 Okt 2000.

Sila tujukan satu salinan surat bantahan anda kepada: Faks: 03-87378380 E-mail: manifesto_rakyat@yahoo.com

Atau

 manifesto_rakyat99@yahoo.com

 

Yang benar,

Irene Xavier

(Wakil, Manifesto Inisiatif Rakyat)