GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

APA ADA PADA PROTOKOL?

oleh Cucu Reformasi

Assalamualaikum,

Sama ada anda bersetuju atau tidak, rakyat kini telah diserang oleh phobia takutkan protokol. Apa yang saya maksudkan dengan protokol itu ialah jawatan atau pangkat yang disandang atau dimiliki oleh para individu-individu tertentu.

Sebagai contoh, apabila tersebarnya khabar berita YB atau Dato' polan bin polan akan datang ke kampung, akan dikerahlah seluruh penduduk kampung untuk membuat persediaan. Jelas terpancar keceriaan dimuka-muka penduduk kampung dan akan bergotong royonglah seluruh penduduk kampung melakukan persiapan. Ketua kampung pula akan sibuklah menyiapkan baju baru dan teks ucapannya. Segalanya perlu diatur serapi yang mungkin. Jika tidak, majlis akan cacat dan akan akan mengundang murka YB atau Dato' itu.

Perkara yang sama juga dapat kita lihat berlaku di pejabat-pejabat atau di mana jua tempat kita bekerja. Kakitangan bawahan haruslah akur dengan setiap arahan yang diberikan. Kakitangan selalu dilaung-laungkan dengan pepatah bodoh `BOSS ALWAYS RIGHT`. Kesimpulannya, di mana jua kita berada budaya phobiakan protokl itu akan sentiasa ada.

Secara sedar atau tidak, phobia yang melanda terutamanya bagi kalangan masyarakat Melayu itu, telah menjadi satu sindrom penyakit yang sukar diubati. Dari aspek kehidupan bermasyarakat, sindrom ini akan merencatkan proses perkembangan sesebuah masyarakat untuk menjadi sebuah masyarakat yang produktif dengan idea dan kegiatan. Manakala kalau dilihat dari aspek agama kita Islam, ianya akan mengundang syirik kerana terlalu mengagung-agungkan individu-individu tertentu itu atas sebab protokol yang dimilikinya. Dan dari aspek perhubungan sesama manusia, protokol yang mereka miliki ini banyak menimbulkan sikap riak dan takbur kepada mereka dan seterusnya menimbulkan kesusahan pada orang lain. Sebagai hamba marhain, yang tidak mempunyai apa-apa prokol, kita hanya mampu melihat tanpa punya kuasa untuk bertindak atau setidak-tidaknya menegur kelakuan mereka itu.

Tidak hairanlah, dalam kanca politik negara kita sekarang ini, mereka yang berprotokol akan terus terusan menggenggam kuasa yang ada pada mereka untuk melakukan `keganasan` material. Tidak hairanlah, Sanusi Junit sanggup mencederakan kakitangan KLIA hanya disebabkan oleh beliau seorang yang berprotol. Juga tidak hairanlah, dengan protokolnya sebagai seorang PM, beliau sanggup mengkuarantinkan DSAI ke dalam penjara. Malah dalam suasana tertentu pernah dilihat yang tua datang menyembah kepada mereka dan bukan sebaliknya. Jelas kini orang-orang Melayu terutamanya sudah hilang sudah norma-norma atau nilai-nilai adab sopan Melayu yang selama ini disanjung-sanjung oleh mereka.

Rasulullah saw cukup menjaga perhubungan dan komunikasinya sesama sahabat. Baginda tidak bermegah dengan status atau protokolnya sebagai seorang Nabi. Biarpun beliau telah dijanjikan syurga, tapi Baginda tetap bermunajat kepada Allah mohonkan pengampunan. Baginda cukup menjaga tatatertibnya ketika berdepan dengan umatnya kerana beliau sedar di dalam kelompok umat itu ada di antaranya yang lebih tua darinya. Bagindalah sebaik-baik contoh yang wajib ditauladani oleh seluruh manusia di dunia ini.

Begitu juga pada zaman para sahabat Nabi. Mereka sendiri turun ke padang meninjau masalah rakyat tanpa diundang atau diserikan dengan majlis-majlis resmi. Secara saikologinya, para sahabat akan lebih menjiwai amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka oleh rakyat dan secara tidak langsungnya membentuk diri kepada diri yang berjiwa rakyat.

Berbalik kepada realiti hidup rakyat di tanah air kita ini. Rakyat kini terlupa bahawa protokol tidak akan memberi apa-apa makna ketika usia sudah sampai ke penghujungnya. Itupun kalau diizinkan Allah masih hidup panjang dan tidak nyayuk. Waktu itu rakyat terutamanya generasi muda akan lebih menyanjung dan menghormati mereka-mereka yang berjaya menjalankan kewajibannya sebagai pemimpin Islam sesuai dengan protokol yang dimiliki. Sebaliknya, generasi muda akan mencemuh dan menghina pemimpin-pemimpin yang gagal menunaikan kewajibannya biarpun protokolnya suatu masa dulu cukup gah di mata dunia. Sedarlah, pada waktu itu siapakah yang akan membantu menangkis cercaan dan tohmahan itu?

Allah swt telah berjanji, barang siapa yang melakukan kebaikan sesama makhluknya di muka bumi ini, tidak kira ianya haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya, Allah akan memberikan ganjaran yang sebaik-baiknya dan barang siapa yang melakukan sebaliknya, balasan Allah pasti akan menanti mereka di muka bumi ini dan di akhirat nanti. Ingatlah, dosa kita sesama manusia hanya akan terampun sekiranya dosa itu diampunkan oleh orang yang dianiayai.

Oleh itu, marilah kita tanyakan diri kita masing-masing, apakah perlu kita lebih takutkan protokol-protokol yang dimiliki oleh seseorang individu itu yang pada zahirnya sama sahaja dengan kita ataupun kita lebih takutkan dengan protokol yang dimiliki oleh Allah swt? Tepuk dada, tanyalah selera. Jawapannya ada difikiran masing-masing.

Wassalam

Reformasi (3x)
Allahuakbar (3x)
Bebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Lawan Tetap Lawan