hosted by tripod
E-mail this page to a friend Tell me when this page is updated
GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

Kecoh ketika Penyerahan Memorandum di Parlimen

Pada pagi tadi, satu rombongan yang terdiri daripada isteri-isteri dan keluarga tahanan ISA telah datang ke parlimen untuk menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Pembangkang, Dato' Fadzil Noor supaya usul penahanan 10 orang aktivis reformasi dibahaskan di dalam Dewan Rakyat.

Walaubagaimanapun, berlaku kekecohan sebanyak hampir 2 kali ketika usaha-usaha keluarga tahanan ini ingin memasuki parlimen. Yang pertama ialah ketika di pintu pagar parlimen, iaitu di pondok pengawal. Seorang kakitangan parlimen dilihat seolah-olah ingin melengah-lengahkan usaha rombongan ini masuk ke dalam. Dia kata yang mereka sedang berusaha untuk memanggil Ustaz Fadzil turun ke pondok pengawal itu untuk menerima memorandum tersebut. Tetapi pihak rombongan menyatakan bahawa mereka sudah membuat temujanji dengan Ustaz Fadzil di lobi parlimen. Setelah bertekak dengan kakitangan tersebut, akhirnya rombongan tersebut berjaya masuk ke dalam.

Namun tidak semudah itu, kekecohan berlaku sekali lagi. Kali ini berlaku di pintu No. 1, iaitu di tempat untuk mendapatkan pas pelawat.Seorang kakitangan parlimen cuba untuk tidak membenarkan rombongan tersebut naik ke parlimen. Kekecohan yang berlaku terlalu hebat. Suasana agak tegang. Keadaan yang bising ini akhirnya menyebabkan ahli-ahli parlimen BA termasuk Ustaz Fadzil turun ke ruang pintu no.1 itu. Walaupun Ketua Pembangkang sudah menyatakan bahawa rombongan tersebut adalah tetamu beliau, namun kakitangan tersebut masih berdegil dan terus bertikam lidah dengan wakil rombongan tersebut. Namun akhirnya setelah beberapa kata-kata pedas dilontarkan, kakitangan tersebut mengalah. Rombongan seramai hampir 50 orang itu dapat naik ke lobi parlimen.

Di lobi, memorandum diserahkan oleh Bahirah Tajul Aris, isteri Ezam Mohd Nor kepada Ketua Pembangkang. Di samping penyerahan memorandum mendesak isu penahanan di bawah ISA ini dibahaskan, satu sidang akhbar juga diadakan di situ.

Kemudian, mereka bergerak ke pejabat speaker Dewan Rakyat untuk menyerahkan satu memorandum  kepada speaker. Namun beliau tiada dan ia hanya diserahkan kepada setiausahanya sahaja. Setelah itu, rombongan tadi pergi ke kantin. Secara tidak sengaja, mereka telah berjumpa dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Zainal Abidin ketika beliau sedang makan. Di situ juga mereka berjumpa dengan beliau dan mendesak beliau melakukan sesuatu berkenaan penahanan ini dan menyatakan hasrat masing-masing. Beliau agak terkejut menerima kehadiran rombongan ini di KANTIN PARLIMEN!!!

Selepas itu, rombongan tersebut pulang dengan harapan akan berlaku tindakan susulan daripada memorandum yang diserahkan itu. Kedatangan mereka ke parlimen juga mendedahkan betapa sukarnya sebilangan kakitangan parlimen ini untuk menerima kehadiran pihak-pihak yang menyokong pembangkang ini.

spycather
-2/5/01-