GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

KITA MASIH DI SINI

Masih kita berdiri disini, mengharap perubahan, bermimpikan Mahathir untuk segera meletak jawatan. Bukan hasrat Pendekar untuk mencelah dan mengecil-gecilkan perjuangan tetapi setakat memberi kesedaran kepada kita termasuk Pendekar sendiri yang terkadang lupa dan lalai berusaha.

Hari ini Pendekar sempat meneliti membaca beberapa Web Site yang khasnya di tubuhkan oleh pelajar kita baik diluar mahupun di dalam negara. Ambil contoh Web Site Cambridge, Gerakan Mahasiswa Lantang, Gabungan Mahasiswa Wangsa Maju dan yang baru di letakkan oleh Sdr Komentar ialah Malaysian Student Against Mahathir. Jelas mereka telah menerima laungan Reformasi yang di taja oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Laungan itu kini bergema di luar negara dan pelajar kita di sana sudah mula berani memberi tekanan kepada Mahathir untuk meletakkan jawatannya. Syabas kepada pelajar kita. Syabas kepada mereka yang berani dan sanggup bersama-sama reformis di Malaysia mengambil risiko dalam memperjuangkan keadilan dan tuntutan Reformasi.

  Sungguhpun begitu ingin pendekar berpesan kepada diri dan juga kepada pemimpin Barisan Alternatif, bila mereka sudah mula menerima dan berani melaungkan reformasi janganlah pula kita terus menerus membisu. Kita juga kena sambut laungan mereka dan terus memberi semangat dan informasi-informasi penting agar mereka berterusan membela nasib nusa dan bangsa dari terus dijajah oleh Mahathir dan kroni berduit mereka. Bukan pendekar mengatakan bahawa semangat juang mahasiswa dan pelajar kita tidak kuat tetapi kita perlu memberi mereka sokongan akan semangat tersebut berterusan. Tok Guru Pendekar pernah menasihati pendekar, bara mahu dijadikan api tidak boleh di biarkan sendirian. Tiup dan bakarkan semangat kerana kebenaran menyebelahi kita.

Pendekar menyambut laungan mahasiswa kita dan memohon mereka mengatur langkah dan strategi yang lebih mantap dalam menjana kemenangan bagi membela nasib orang yang di zalimi khususnya Bapa Reformasi Malaysia Sdr Anwar Ibrahim.

 

Mahasiswa harapan kita

Pendekar Melayu