GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

KENYATAAN MEDIA
DATO’ FADZIL MOHD. NOOR
PRESIDEN PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
6 OKTOBER 2000

“PAS KUTUK KEKEJAMAN ISRAEL”

Keganasan yang dicetuskan oleh regim Zionis Israel di wilayah yang diduduki selepas tindakan pemimpin parti Likud, Ariel Sharon mencemari kesucian Masjidil Aqsa pada 28 September lalu jelas menunjukkan bahawa pendirian seluruh gerakan Islam di dunia termasuk PAS menolak apa yang disebut sebagai ‘perjanjian damai Arab-Israel’ adalah tepat.

PAS mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman dan kekerasan yang dilakukan oleh askar-askar Zionis di sekitar kawasan al Haram di Baitulmaqdis dan di Semenanjung Gaza. Seperti yang diketahui umum Sharon merupakan kepala pengganas yang bergerak bebas bertopengkan sebagai ahli politik. Beliau dan regim Barak mempunyai agenda yang sama iaitu untuk menakluk seluruh kawasan yang diduduki. Lebih dahsyat lagi regim pengganas itu mahu memusnahkan Masjidil Aqsa – kiblat pertama umat Islam dan tempat Isra’ dan Mi’rajnya Nabi Muhammad (SAW) pada bulan Rejab yang mulia ini.

Walaupun Yasser Arafat nampaknya sudah banyak tunduk kepada Zionis tetapi rakyat Palestin masih mempertahankan maruah ummah dan kesucian masjid. Kita mendoakan supaya perjuangan mereka membebaskan wilayah yang diduduki daripada Zionis Israel memperolehi kejayaan. Hanya jihad yang berterusan dapat mengembalikan hak umat Islam dan rakyat Palestin.

PAS juga ingin mengingatkan semua pihak terutama pemerintah Malaysia yang semakin galak untuk mengadakan hubungan dengan regim Zionis itu supaya menghentikan sandiwara ‘mengutuk’ keganasan Zionis sedangkan ia sudah memulakan langkah ke arah itu. Adalah satu perkara yang amat memalukan umat Islam ketika mana rakyat Palestin, tidak kira kanak-kanak, orang tua dan wanita ditembak secara tidak berperikemanusiaan, pemerintah Malaysia di bawah Dr Mahathir berusaha untuk berbaik-baik dengan regim pengganas itu. Kita mendesak kerajaan Malaysia supaya melupakan sahaja usaha-usaha seumpama itu. Dalam masa yang sama kita mahu kerajaan Malaysia mendesak Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar bagi membahaskan kekejaman terbaru Israel.

PAS juga kesal kerana Persidangan Negara Islam (OIC) tidak mengambil langkah aktif menyelamatkan rakyat Palestin dan terus berdiam diri. Di samping itu PAS menuntut semua negara Arab yang telah pun mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel supaya memutuskan segera hubungan sumbang itu. PAS juga mahu Amerika Syarikat tidak membisu apabila rakyat Palestin di zalimi. Mereka harus turut sama mengutuk Israel dan mengenakan tindakan keras ke atas mereka. AS jangan bertindak hanya apabila rakyat Israel yang menjadi mangsa.

PAS menyeru kepada seluruh umat Islam supaya mengadakan majlis solat hajat untuk umat Islam Palestin yang dizalimi itu dan khususnya supaya Masjidil Aqsa selamat daripada pencerobohan regim Zionis Israel.

DATO’ HAJI FADZIL MOHD. NOOR
PRESIDEN PAS