GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

'Umno Kuat Islam Kuat'? Umno semakin hilang arah
oleh Adi Putra

KOTA BHARU, 9 Okt (Hrkh) - Orang ramai di negeri ini terutamanya tokoh-tokoh agama mempertikaikan tema 'Umno Kuat Islam Kuat' pada konvensyen Umno Kelantan 2000, yang diadakan di sini, Sabtu lalu.

Menurut mereka tema tersebut cuba memperlihatkan keegolan parti itu kononnya Islam hanya kuat hanya apabila Umno kuat.

Seorang pendawah bebas, Haji Hasbullah Awang, 55 berkata, amat tidak sesuai sekali mana-mana parti sekali pun mengunakan tema tersebut apatah lagi sebuah parti yamg tidak memperjuangkan Islam.

"Tema 'Umno Kuat Islam Kuat' kalau dilihat sekali pandang menampakkan seolah-olah Umno wujud lebih awal daripada Islam," katanya.

Menurutnya, tindakan Umno menggunakan tema tersebut sebenarnya untuk berdepan dengan kekuatan PAS yang sudah lama berjuang memartabatkan Islam.

Katanya, idea tidak munasabah itu mungkin datang dari seorang pemimpin dalam Umno yang pernah bersama PAS suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun beliau berkata, pengalaman yang ada pada tokoh terbabit ketika bersama PAS tidak mampu digunakan semasa dia bersama Umno sekarang kerana pentas perjuangan cukup berlainan.

"Tema seperti ini sebenarnya menampakkan Umno terlalu pincang untuk memperkatakan tentang agama sehingga boleh ditertawakan orang ramai," katanya.

Ketua Pemuda PAS Kubang Kerian, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, tema yang digunakan Umno pada konvensyen tersebut mencerminkan mentaliti sebenar pemimpin Umno yang sering mempermainkan agama.

Katanya, tidak ada dalam catatan sejarah Umno benar-benar mahu mendaulatkan Islam, malah sepanjang penubuhan parti itu hala tujunya lebih berasaskan kepada dontrin sekular.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Mohd Fauzi Zakaria berkata, dengan tema tersebut seolah-olah menampakkan Islam sebagai menumpang kepada kekuatan Umno.

"Tema tersebut amat tidak bertempatan dengan konsep perjuangan Umno sebagai sebuah parti yang memperjuangkan sekularisma kerana asas idealogi itu memisahkan antara politik dan agama," tambahnya.Beliau juga berkata, biarpun kewujudan Umno bukan untuk menentang Islam, namun pada hakikatnya mereka menganggap politik hanyalah perjuangan hidup di dunia sahaja.

Baru-baru ini, Umno mengadakan konvensyen di sebuah hotel terkenal dengan tema, 'Umno Kuat Islam Kuat'.

Ucaptama dilakukan Pengerusi Perhubungan yang baru, Dato' Mustafa Mohamed.