GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

 

BERLAGA TUNGGAK, MELAYU JANGAN KETEPI

(EMAIL DARI PENDEKAR MELAYU )

 

 

 

Terlebih dahulu saya meminta Pengurus Laman ini sekira dapat menyiarkan tulisan saya ini. Saya tidak mahu diklasifikasikan tulisan ini sebagai tulisan politik kerana ianya lebih kepada mengajak kita sebenarnya berdiskusi.

 

Kali ini kita melihat Isu Hak Keistimewaan Melayu, yang baru-baru ini menjadi satu isu yang agak hangat diperbincangkan. Banyak Laman-Laman Pro Reformasi sudah mula menulis perihal perkara ini. Saya percaya perkara ini perlu di lihat dari sudut yang agak terbuka tanpa di pengaruhui oleh sentimen-sentimen lain. Apakah isu ini sekadar mainan politik atau isu ini benar-benar mencabar kewibawaan melayu. Bukanlah hasrat saya untuk melaga-lagakan kita antara kaum tetapi dalam kita cuba memperjuangkan wadah politik dan cita-cita politik, isu Melayu ini tidak sepatutnya dipinggirkan oleh mana-mana pihak.

 

Isu Melayu adalah isu menyeluruh dan isu ini perlu di beri pemerhatian yang kritis tetapi toleran. Sensitiviti isu ini amat tinggi dan sensitiviti ini perlu diambilkira oleh semua bangsa yang bernaung dalam negara kita ini.  Sungguhpun begitu sensitiviti ini tidak bermaksud menghalang melayu bagi memperjuangkan hak dan keistimewaannya. Sensitiviti ini juga tidak bermaksud hanya melayu perlu toleran sedangkan kaum yang lain boleh membicarakannya secara terbuka. Kita dari Barisan Alternatif, perlu juga melihat isu ini secara yang lebih relevan dalam kita membicarakan tuntutan reformasi.  Menangani isu ini dengan lebih praktikal tanpa melibatkan agenda-agenda mempolitikkan keadaan akan menunjukkan kematangan kita dalam politik dan kesungguhan kita dalam memperjuangkan agenda kita tanpa krompromi baik dari segi tuntutan reformasi mahupun isu melayu. Ingat isu keadilan, isu mempertahankan hak dan kebenaran, isu Melayu TIDAK BOLEH DI  KOMPROMI. 

 

Mempolitikkan Isu Hak Keistimewaan Melayu sebenarnya merugikan kita. Isu hak keistimewaan kita tidak boleh di peralatankan dan tidak boleh diketepikan oleh mana-mana pihak baik UMNO, PAS mahupun keADILan. Menangani isu ini secara terbuka dan praktikal mampu menjana kecemerlangan bangsa kita yang masih agak kebelangkangan dalam pelbagai aspek.

 

Dari sudut ekonomi kita Melayu harus sedar bahawa kita masih tertinggal jauh berbanding dengan kaum Cina. Apakah ketinggalan ini kerana dasar kerajaan atau kerana Melayu itu sendiri? Apakah ketinggalan ini harus di lenyapkan dari agenda kita? Bagi saya tidak. Kita perlu, atas dasar Melayu memperjuangkan hak kita dan dan atas dasar kemanusiaan kita baik Melayu, Cina, India dan apa bangsa sekalipun perlu memperjuangkan hak kita sebagai rakyat Malaysia. Bukankah itu mencantikkan lagi perjuangan kita baik menuntut reformasi mahupun menuntut hak kita sebagai Melayu. Renungkanlah, fikirkanlah, saya mungkin tersilap tetapi setidak-tidaknya saya mahukan kejayaan kita sebagai melayu tercapai disamping perjuangan kita menuntut perubahan dengan menghapuskan kronisma, nepostisma dan korupsi. Perjuangan perlu ikhlas dan lebih fokus.

 

Kita sedar dan kita akur pada perjuangan reformasi, yakni menuntut perubahan dalam kepimpinan negara ini. Itu wadah perjuangan kita tetapi dalam kita memperjuangan perkara tersebut kita buka juga minda kita dalam melihat isu itu secara terperinci. Melayu perlu menentukan hak keistimewaannya terjamin di tanah ini disamping kita menentukan islah dalam pentadbiran negara ini.

 

Kita dokong perjuangan menuntut reformasi tetapi kita seharusnya tidak buta apabila isu keistimewaan melayu dipersoalkan. Saya percaya dengan sikap kita yang lebih fokus dan kritis maka kejayaan kita dalam semua yang kita perjuangkan akan lebih membuahkan perubahan secara total.

 

Saya secara terbuka mahukan perubahan yang mana dokongan perjuangan saya tetap dan teguh bersama tuntutan reformasi namun saya akan terkilan sekiranya ada pihak yang akan menangguk di air yang keruh.

 

Seperti kata saya tadi berlaga tunggak siapa yang rugi?

 

PENDEKAR MELAYU BERSUARA LAGI

TULISAN KEDUA