Make your own free website on Tripod.com
GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

KENYATAAN MEDIA (7 SEPTEMBER 2000)

ROYALTI PETROLEUM : BN ISYTIHAR PERANG TERHADAP DEMOKRASI

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius tindakan kebinatangan dan tidak demokratik Kerajaan BN dalam menguruskan isu royalti minyak negeri Terengganu. Tindakan gila Kerajaan BN ini membuktikan bahawa BN tidak pernah menghormati demokrasi dan suara rakyat sehingga sanggup mengenakan hukuman yang zalim ke atas kerajaan dan rakyat Terengganu semata-mata kerana menolak BN dalam pilihanraya yang lalu.

DPP Pusat sangat hairan mengapa isu penyalahgunaan royalti minyak hanya dibangkitkan oleh BN selepas Terengganu jatuh ke tangan PAS dalam pilihanraya umum yang lalu, sedangkan selama ini BN yang menikmati hasil royalti tersebut semenjak 1975 tidak pernah dibangkitkan. DPP Pusat hairan mengapa BN tidak mempersoalkan bagaimana hasil royalti tersebut dibelanjakan semasa Terengganu diperintah oleh BN. DPP Pusat juga mempersoalkan mengapa BN tidak membangkitkan perkara yang sama terhadap Sabah dan Sarawak yang perintah oleh BN sedangkan penyelewengan yang sama juga mungkin boleh berlaku.

DPP Pusat berpandangan bahawa tindakan tidak demokratik Kerajaan BN ini ialah satu pengisytiharan perang secara terbuka terhadap kebebasan rakyat dan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini. Bukan sahaja rakyat Terengganu yang menerima hukuman daripada tindakan biadap BN ini, tetapi juga seluruh rakyat terpaksa memerima hakikat bahawa sesiapa sahaja yang tidak menyokong BN akan menerima akibatnya seperti mana yang dialami oleh rakyat Terengganu.

Sebelum ini Kerajaan BN telah mencabuli secara rakus hak dan kebebasan rakyat apabila dengan mengumumkan hukuman kepada beberapa orang doktor di Melaka kerana mereka menyokong Barisan Alternatif dalam pilihanraya yang lalu. BN juga sebelum ini mengenakan hukuman kepada rakyat Kelantan apabila melengah-lengahkan pembayaran capitation grant dan enggan mengagihkan baja subsidi kepada penyokong PAS. Inilah kegilaan BN dalam menghadapi realiti bahawa mereka sedang ditolak oleh rakyat.

DPP Pusat tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh Kerajaan BN kerana membimbangi wang royalti tersebut akan disalahgunakan dan mereka mendakwa belum mendapat laporan tentang penggunaan RM405 juta wang royati yang dibayar sebelum ini. Ini kerana tidak ada sebarang bukti bahawa wang tersebut telah disalahgunakan dan mungkin oleh kerana BN pernah berpengalaman melakukan penyelewengan, salah guna dan pemborosan terhadap wang rakyat, maka mereka menyangka pemimpin PAS akan melakukan perkara yang sama. BN sepatutnya menunggu sehingga akhir tahun untuk mendapat laporan Ketua Audit Negara tentang penggunaan wang tersebut bukannya bertindak bodoh mendakwa tidak mendapat laporan penggunaan wang tersebut sedangkan ia masih belum cukup setahun.

Jika BN mendakwa wang tersebut boleh diselewengkan oleh PAS, maka dengan disalurkan kepada Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP), wang tersebut juga mungkin akan diselewengkan oleh pemimpin BN. Rakyat Terengganu tentu lebih arif siapakah pemimpin yang lebih telus dan siapa pula yang lebih rakus terhadap wang rakyat. Apakah jaminan yang boleh diberikan oleh BN bahawa wang tersebut tidak akan diselewengkan. DPP Pusat yakin budaya kronisme dan nepotisme akan berlaku dalam menguruskan wang ini. BN juga perlu ingat bahawa selama 25 tahun mereka menguruskan wang royalti ini, rakyat Terengganu terus kekal sebagai kedua paling miskin dan membuktikan mereka gagal dan tidak mampu untuk melaksanakan amanah rakyat.

Kini mereka cuba sekali lagi untuk muncul sebagai hero yang ingin menyelamatkan rakyat sedangkan sebelum ini merekalah yang membaham wang rakyat. Sebelum ini BN telah diberi peluang oleh rakyat selama hampir 40 tahun untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat, tetapi terbukti gagal dan kini peluang itu diberikan rakyat kepada PAS, maka mengapakah BN bertindak dangkal untuk menutup hasrat rakyat untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Apakah BN begitu zalim sehingga sanggup melihat rakyat hidup melarat semata-mata kerana tidak menyokong mereka dalam pilihanraya.

DPP Pusat menggesa Kerajaan dan rakyat Terengganu supaya bertegas terhadap hak mereka yang sedang dicabuli oleh BN. Seluruh rakyat Terengganu mesti bersabar dan memohon kepada Allah supaya mereka terselamat daripada benana kezaliman BN ini. DPP Pusat berdiri teguh di belakang Kerajaan Terengganu dan kami menyokong penuh sebarang usaha untuk mempertahankan hak mereka ini. DPP Pusat akan menghantar satu memorandum kepada Kerajaan Terengganu untuk menyatakan sokongan dan mempertahankan hak ini.

DPP Pusat berpandangan bahawa BN adalah sebuah parti yang tidak pernah berpegang kepada janji dan tidak mempunyai maruah diri. Mereka berjanji kepada rakyat dalam pilihanraya untuk melakukan keadilan dan kesaksamaan, mereka bercakap di peringkat antarabangsa tentang hak asasi manusia dan penindasan terhadap negara membangun, mereka mengkritik laporan media antarabangsa yang memburuk-burukkan Malaysia, tetapi dalam masa yang sama mereka melakukan pencabulan terhadap demokrasi, menafikan hak rakyat, menyekat kebebasan media, menggunakan media untuk menyebarkan fitnah di negara ini. Terbukti janji BN untuk menghormati keputusan dan pilihan rakyat telah dicabuli oleh kerakusan mereka.

DPP Pusat memperingatkan kepada BN bahawa tindakan mereka ini adalah satu provokasi yang akan menimbulkan kemarahan rakyat yang akhirnya boleh melahirkan kesan yang negatif kepada negara. DPP Pusat memberi amaran bahawa sekiranya BN terus berkeras untuk melaksanakan dasar sesatnya ini, rakyat akan bangkit untuk melakukan perubahan dan akan menjatuhkan BN dengan segera supaya kezaliman yang menggila ini dapat dihentikan. BN mesti bertanggungjawab di atas sebarang kejadian buruk yang berlaku jika mereka terus menindas dan menafikan hak rakyat.

DPP Pusat mendesak Petronas agar tidak terpengaruh dengan dasar gila BN ini dan mereka mesti bertindak rasional mengikut perjanjian yang pernah dimeterai pada 1975. DPP Pusat juga memperingatkan bahawa satu kempen memboikot Petronas mungkin akan dilakukan oleh rakyat sekiranya Petronas mengikut telunjuk zalim BN ini. Semua hal yang berkaitan Petronas termasuk petrol, minyak pelincir, gas, pendidikan dan aktiviti-aktiviti yang ditaja oleh Petronas termasuk Formula 1. Petronas juga harus menerima hakikat sekiranya kakitangan mereka juga turut memboikot perbuatan biadab BN ini. Petronas mesti profesional dalam urusan ini kerana mereka diberi tanggungjawab untuk menguruskan khazanah rakyat bukannya harta BN.

DPP Pusat mengajak seluruh rakyat supaya mempastikan kezaliman BN ini tidak dapat diteruskan dan rakyat mesti bertindak agresif sebagai tindak balas ke atas kezaliman yang sedang ditaja oleh BN ini. Sekiranya rakyat terus berdiam diri, ini bermakna rakyat merestui kezaliman yang berlaku dan suatu masa kezaliman ini akan menimpa diri mereka. Rakyat tidak wajar terpengaruh dengan slogan Keranamu Malaysia jika BN bertindak zalim, tetapi bertindak balas ‘keranamu BN’ telah melakukan kezaliman!

 HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

  Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat