GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

INISIATIF MANIFESTO RAKYAT

Jawatankuasa Penyelaras

Bosses Group, Ex-ISA Detainees Group,ERA Consumer, Gabungan Rumah Panjang, Group of Concerned Citizens, Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar, Majlis Graduan Malaysia,  Persatuan Masyarakat Selangor & Wilayah Persekutuan, Persatuan Sahabat Wanita Selangor,  Pusat Komunikasi Masyarakat, Suara Rakyat Malaysia, Women's Candidacy Initiative

c/- 21 Jalan Muhibbah 8, Taman Muhibbah, 43000 Kajang, Selangor  tel-fax:  60-3-87378380 atau  03- 228 22511

12 Sept 2000

Pengharaman Eksklusif dan Al-Wasilah: Pemerintah salah guna kebebasan kuasa politik  demi membunuh ruang demokrasi rakyat: Inisiatif Manifesto Rakyat (People's Manifesto Initiative) mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk tidak menyambung permit akhbar mingguan politik "Eksklusif" dan majalah bulanan remaja "Al-Wasilah."

Tindakan ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyalah-gunakan kuasa dan kebebasan yang ada padanya. Ia merupakan tindakan yang "paradoxical." Dari satu segi, kerajaan menuduh media ini perlu bertanggungjawab tetapi kerajaan sendiri tidak menggunakan tanggungjawabnya dengan betul. Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (Pindaan 1987) menyebutkan "keputusan menteri tidak boleh dicabar di mahkamah."

Ini menunjukkan kerajaan cuba lari daripada tanggungjawab dan menggunakan sebebas-bebasnya kuasa yang diperuntukan dalam akta tersebut. Pada asasnya akta ini sendiri "ultra vires" dengan hak-hak kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan. Media wajib bertanggungjawab dan tidak sewajarnya menyalahgunakan kebebasan yang boleh merosakkan masyarakat. Tetapi begitu juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi --- beliau tidak boleh menggunakan kebebasan ini sesuka hatinya atau mengikut kepentingan parti yang diwakilinya sahaja.

Kedua, Pengharaman Eksklusif dan Al-Wasilah  oleh pihak kerajaan telah membuktikan bahawa sikap kerajaan sendiri yang tidak ingin berhadapan dengan kritikan serta teguran sehingga sanggup mematikan ruang bersuara rakyat serta benar-benar menghormati  peranan kebebasan media. Dari satu segi, kerajaan mengkritik laman-laman web yang disifatkannya "menyebarkan "fitnah" tetapi pada masa yang sama kerajaan menutup ruang-ruang kebebasan yang ada pada akhbar "Eksklusif" dan majalah "Al-Wasilah."

Tindakan seperti inilah yang menyebabkan dan menggalakkan orang ramai menggunakan laman-laman web ini untuk mengkritik dan mengecam kerajaan. Dengan itu, laman-laman web akan menjadi lebih popular dan dijadikan tempat untuk meluahkan perasaan tidak berpuas hati pada kerajaan. Akhirnya, kita ingin menegaskan lagi bahawa Kerajaan tidak sepatutnya menutup akhbar "Eksklusif" dan "Al-Wasilah" yang menerbitkan pandangan kedua-dua pihak dan bersifat pendidikan, parti pemerintah dan juga pembangkang.

Kewartawanan seperti inilah yang seharusnya digalakkan. Inisiatif Manifesto Rakyat menghormati hak semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai menerbitkan semua pandangan mereka, tetapi mengapa KDN mengharamkan "Eksklusif" dan "Al-Wasilah" yang mengambil sikap "middle ground" atau jalan tengah. Sikap KDN ini sebenarnya penuh paradoks dan tidak memenuhi cita-cita ke arah masyarakat berpengetahuan dan menghargai kepelbagaian maklumat dalam sesebuah negara demokrasi seperti Malaysia.

Justeru itu, kita menyeru agar  Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984  (Pindaan 1987) harus dimansuhkan   agar Hak bersuara,kebebasan media dan hak menerima maklumat terjamin. Inisiatif Manifesto Rakyat mendesak KDN menarik semula keputusannya yang bersifat mengongkong dan menindas itu dengan kadar yang segera.

Irene Xavier

bagi pihak Inisiatif Manifesto Rakyat