GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

Batal Royalti: Pegawai kanan Petronas dedah cerita sebenar

MARANG, 15 Sept (Hrkh) – Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang hari ini mendedahkan bahawa seorang pegawai kanan Petronas telah memberitahu kerajaan negeri bahawa mereka diarahkan oleh Kementerian Kewangan agar membatalkan royalti minyak kepada Terengganu.

Abdul Hadi berkata, dalam pertemuan antara beliau, pemimpin kerajaan negeri Terengganu dan pegawai kanan Petronas di Kuala Lumpur semalam, perkara sebenar tersebut telah diberitahu kepada mereka.

Ketika diminta menamakan secara lebih spesifik, Abdul Hadi berkata, “Menteri Kewangan.”

Perkara ini diberitahu oleh beliau dalam wawancara khas oleh Harakah dan majalah hal ehwal semasa dari London, Impact International di rumahnya dekat Masjid Rusila petang ini.

Beliau menegaskan, dalam pertikaian antara kerajaan negeri Terengganu dengan kerajaan Pusat ini, kerajaan Terengganu telah mendapat sokongan padu dari rakyat negeri ini bahkan juga dari pegawai-pegawai Petronas.

“Mereka telah melahirkan simpati mereka kepada kita dalam pelbagai cara,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, Pusat bukan sahaja merampas royalti minyak dari Terengganu bahkan juga gran kapital yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri berdasarkan bilangan penduduk dan panjang jalan di negeri ini.

“Tetapi sehingga kini kita tidak menerima gran tersebut,” katanya.

Berdasarkan pengalaman Kelantan, gran itu akan dilewat-lewatkan oleh Pusat walaupun ia sepatutnya dibayar dua kali setahun iaitu pada bulan Februari dan juga pada bulan Ogos.

Abdul Hadi juga menjelaskan, perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas jelas sekali menyebut bahawa bayaran yang perlu dibuat oleh Petronas adalah royalti lima peratus dan dalam bentuk wang tunai.

“Akta Petrolium digubal pada tahun 1974. Pada tahun 1975, kerajaan negeri Terengganu menandatangani perjanjian dengan Petronas dan Terengganu akan mendapat royalti lima peratus dari hasil minyak yang dikeluarkan.

“Pada tahun 1987, satu lagi perjanjian ditandatangani antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas dan sekali lagi ditegaskan dengan jelas dalam perjanjian itu, Terengganu akan menerima royalti lima peratus dari Petronas,” beritahu Abdul Hadi.

Kandungan penuh wawancara akan disiarkan selepas ini.