GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

Batal Royalti: Terengganu mampu teruskan janji kepada rakyat - Hadi

MARANG, 15 Sept (Hrkh) - Kerajaan negeri Terengganu yakin tidak berundur dari segala tindakan yang telah dilakukan sebelum ini untuk kebaikan rakyat negeri Terengganu walaupun sumber hasilnya kini berkurang ekoran sekatan dari kerajaan Pusat terhadap royalti minyaknya.

Menteri Besar, Abdul Hadi Awang dalam wawancara khasnya dengan Harakah dan majalah hal ehwal semasa dari London, Impact International berkata, kerajaan negeri telah berjaya menambahkan hasil bukan minyaknya setelah PAS mengambil alih pertadbiran negeri ini.

Antara sumber hasil yang telah bertambah pada tahun ini adalah kayu balak sehingga RM100 juta pada tahun ini dan premium hasil tanah yang telah dikaji semula oleh kerajaan negeri.

Katanya, dengan penambahan hasil ini, kerajaan negeri akan mampu meneruskan segala janji dan tindakan yang telah dibuat oleh PAS apabila mengambil alih negeri Terengganu.

Antara tindakan yang telah dibuat dan dikira akan menjejaskan hasil negeri adalah menghapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, menaikkan imbuhan untuk pegawai masjid termasuk imam dan bilal, menaikkan kadar bantuan untuk golongan fakir dan miskin dari RM60 sebulan kepada sehingga RM170 sebulan, memansuhkan cukai pintu rumah kediaman serta memansuhkan tunggakannya dan lain-lain lagi.

Di Terengganu, kebimbangan di kalangan rakyat mulai terasa apakah kerajaan negeri akan mampu meneruskan langkah dan janji yang telah dibuatnya sebelum ini apabila Pusat merampas royalti minyak dari kerajaan negeri Terengganu.

Mereka bimbang kalau-kalau kerajaan negeri terpaksa undur balik kepada asal setelah Pusat merampas royalti minyak yang sepatutnya di terima sebanyak RM810 juta tahun ini itu.

“Kalau Kelantan boleh bertahan lebih dari 10 tahun tanpa minyak mengapa tidak Terengganu. Kita tidak akan undur sama sekali dan apa yang telah janjikan itu akan kita teruskan,” kata beliau dalam wawancara hampir satu jam di rumahnya dekat Masjid Rusila itu.

Impact International telah diwakili oleh penulisnya Dr Farish Noor manakala Harakah diwakili oleh editornya, Zulkifli Sulong.

Ikuti wawancara sepenuhnya selepas ini.