GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

Ketakutan sebenar Dr Mahathir
Catatan Hujung Minggu
Oleh Zulkifli Sulong

Dewan Undangan Negeri Terengganu yang kebetulan bersidang pada hari Selasa dan Rabu lepas telah meluluskan satu usul tergempar membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Pusat membatalkan royalti minyak untuk kerajaan negeri Terengganu.

Menurut usul yang dikemukakan oleh Adun Ladang, Dr Sulaiman Abdullah dan dibahaskan lebih lima jam dalam DUN Terengganu itu, Pusat jelas melanggar perjanjian yang dibuat antara Petronas dengan kerajaan negeri Terengganu.

Yang paling menarik adalah cabaran Ketua Pembangkang DUN Terengganu, Dato' Abdul Rashid Ngah disambut secara `tunai' oleh Tun Salleh Abbas dalam Dewan itu.

Ketika membahaskan usul itu, Dato' Rashid kesal dengan sikap pemimpin PAS kononnya mengambil sikap konfrantasi dengan Pusat sehingga membuatkan Pusat bertindak menyekat royalti untuk kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau meminta orang yang berpengalaman seperti Tun Salleh Abbas tampil ke hadapan untuk memberikan keterangan.

Sebaik sahaja habis Dato' Rashid berucap, dan giliran penggulungan dari barisan Exco Kerajaan Negeri Terengganu tiba, Tun Salleh telah mula-mula sekali bangun dan menjelaskan perkara itu. Tun dengan jelas berkata, Pusat telah melanggar bukan sahaja sistem demokrasi dan berpersekutuan di negara ini tetapi telah salah mentafsirkan istilah royalti yang dijadi ehsan sahaja oleh pihak Pusat.

Kata Tun, menurut laporan sebuah akhbar harian, ada dua perjanjian bertulis yang dibuat oleh Petronas dan kerajaan negeri Terengganu. Pertama yang dibuat pada bulan Mac 1975 dan satu lagi yang dibuat pada September 1987. Kedua-duanya jelas menyebut istilah yang digunakan adalah royalti dan bukannya ihsan.

Tun juga menjelaskan, kedua-dua perjanjian itu dengan jelas menyebut hak kerajaan negeri Terengganu untuk menerima royalti petroleum dalam bentuk wang tunai.

Jelas, belum lagi habis Dewan Undangan Negeri bersidang, apa yang diharapkan oleh Dato' Rashid telah dijawab dengan jelas oleh Tun Salleh, orang yang beliau percayai.

Sekarang terserah kepada Ketua Pembangkang DUN Terengganu itu untuk berlaku jujur dan sama-sama menerima hakikat bahawa apa yang dibuat oleh Kerajaan Pusat melanggar perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri Terengganu.

Persoalan sebenarnya sekarang adalah terletak di bahu Petronas, sebagai pihak yang membuat perjanjian secara bertulis dengan kerajaan negeri Terengganu. Adakah mereka mahu menggadaikan prinsip sebagai sebuah badan korporat yang bertaraf antarabangsa atau tunduk atas kemahuan tuan politiknya. Petronas mesti ingat, mereka bukan sahaja membuat perjanjian dengan kerajaan negeri Terengganu bahkan juga dengan badan-badan korporat di seluruh dunia. Apakah penilaian mereka nanti andaikata Petronas akur dengan kehendak tuan politik mereka. Ini sebenar tidak sukar untuk kita telah kerana sebagai pegawai yang dilantik oleh kerajaan Pusat, amat sukar untuk mereka melawan keputusan Pusat itu.

Kita yakin, kerajaan Pusat tidak lagi memikirkan persoalan nama baik atau imejnya lagi. Apalah salahnya mencalarkan sedikit imej yang sememangnya sudah banyak tercalar itu berbanding dengan membiarkan PAS membuktikan kepada rakyat bahawa dia lebih mampu dari Umno/BN dalam mentadbir negeri dengan bantuan wang royalti itu.

Sebenarnya inilah yang sangat ditakuti oleh Dr Mahathir. Beliau sedar, dengan imej buruk yang ada kepada Umno, rakyat relah memberi peluang kepada PAS dalam pilihan raya lepas. Sebahagian dari mereka memberikan undi kepada PAS sebagai percubaan, setelah kecewa dengan Umno. Ia dibuat dalam keadaan ragu-ragu - hanya beri sekali peluang kepada PAS.

Tetapi, jika dengan bantuan wang yang mencukupi dari royalti minyak ini, PAS berjaya membuktikan kemampuannya untuk mentadbir Terengganu lebih baik dari Umno, nescaya selama-lamanyalah Umno tidak akan berjaya merampas Terengganu lagi. Bahkan, rakyat negeri lain juga akan yakin untuk memberikan undi kepada PAS dalam pilihan raya akan datang.

Inilah sebenarnya ketakutan Mahathir. Sebab itulah beliau tidak percaya kepada orang lain lagi untuk memulihkan Umno dan turun ke gelanggang sendiri.