GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

Demonstrasi Pada Pandangan Mahathir: Seleweng dan Salah

Sudah tentulah pandangan Dr. Mahathir secara literalnya bahawa keamanan dan kestabilan di mana-mana negara akan terganggu jika rakyat terus mengadakan demonstrasi jalanan mengemukakan tuntutan semata-mata atas kepentingan demokrasi adalah benar. Begitu juga pandangannya bahawa adalah salah untuk kita beranggapan bahawa demokrasi bermakna kebebasan mutlak melakukan apa sahaja termasuk menembak orang yang kita tidak suka adalah juga pandangan yang benar. [Perhatikan sekali lagi PM yang tua ini menimbulkan isu tembak!]

Namun, berdasarkan sejarah hitam yang menimpa Malaysia sejak 1998, tentulah pandangan ‘benar’ Dr. Mahathir ini apabila dikaitkan dengan makna demokrasi adalah pandangan yang tersasar dan menyeleweng. Tanpa peristiwa yang berlaku sejak 1998 [malah, lebih awal lagi, kita katakan sejak 1985], pandangan tersebut adalah pandangan normal daripada negarawan yang ingin membangun dan memajukan negaranya.

Walau bagaimanapun, latar belakang Dr. Mahathir bukanlah latar belakang yang baik dan molek. Apatah lagi, sejak Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, maka politik yang diamalkan olehnya bukan sahaja menyeleweng, malah menimbulkan kemarahan rakyat dan kebencian di kalangan marhaen.

Pemahaman Dr. Mahathir terhadap demonstrasi juga tampak dangkal dan cetek. Dr. Mahathir melihat seolah-olah, rakyat yang berdemonstrasi hanya ingin mengisi rutin demokrasi yang memberikan kebebasan untuk bersuara dan berhimpun. Seandainya benar, bahawa Dr. Mahathir hanya melihat demonstrasi yang tercetus sejak kebelakangan ini hanyalah sebagai pelengkap kepada demokrasi, tentulah tidak hairan apabila Dr. Mahathir boleh mengarahkan pasukan keselamatan memperlakukan sewenang-wenangnya terhadap rakyat yang berdemonstrasi. Barangkali, tindakan pasukan keselamatan itu juga adalah pelengkap kepada demokrasi terarah ala Mahathir!

Walaupun pandangan tersebut adalah ekoran daripada pertanyaan seorang warga Pakistan, tetapi tentulah tidak dapat tidak sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir merujuk juga hal tersebut kepada apa yang berlaku di Malaysia. Adalah mustahil, pandangan Dr. Mahathir itu hanya tertuju kepada Pakistan, tentulah juga dihalakan kepada negaranya sendiri.

Rakyat Malaysia tidak akan berkumpul, berhimpun dan bergabung, lalu membentuk demonstrasi di tengah-tengah bandar raya utama sekiranya hanya sekadar untuk mengisi tuntutan demokrasi. Sudah sekian lama, rakyat Malaysia seolah-olah menjadi manusia yang buta politik, membiarkan UMNO dan konco-konconya berwenang-wenang di pentas nasional serta negeri untuk menjalankan apa-apa jua kehendak mereka. Sudah tentulah dalam keadaan begitu, adalah sukar rakyat Malaysia untuk memahami tuntutan demokrasi dan kewajipan-kewajipan mereka memelihara demokrasi.

Malah, andainya rajin menyelak sejarah, maka kita boleh membilang dengan jari siri-siri demonstrasi yang diadakan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan variasi negeri. Apa yang berlaku hanyalah demonstrasi-demonstrasi yang melibat komponen masyarakat tertentu atau pun hanya melingkupi daerah atau sempadan yang tertentu.

Selalunya, yang dikaitkan dengan demonstrasi hanyalah mahasiswa yang banyak mencetus tunjuk perasaan terutama era 70-an atau pun permulaan 90-an atau pun golongan petani di Baling. Selain itu, adalah Pemuda UMNO yang membangkitkan semangat nasionalisme Melayu dan kebangsaan Melayu sehingga mencetuskan tragedi Operasi Lalang yang mengaut seberapa banyak pemimpin pembangkang [ironiknya pemimpin UMNO dan MCA terlepas].

Saya kira, kalau pun ada demonstrasi besar-besaran yang paling akhir adalah ketika Tragedi 13 Mei yang melibatkan rusuhan kaum atau pun paling awal pun adalah sekitar Tragedi Natrah dan Malayan Union. Itulah demonstrasi yang dibuat secara besar-besaran, manakala selain itu hanyalah digerakkan oleh sebahagian kecil komponen masyarakat.

Justeru, adalah sukar dengan hanya kesedaran rakyat terhadap politik dan demokrasi, mereka sanggup turun ke jalan-jalan raya untuk demonstrasi. Kesedaran yang terlalu tipis itu tidak memungkinkan mereka ini turun ke gelanggang untuk mempertaruhkan nyawa dan keselamatan mereka. Malah, Daim Zainuddin sewaktu tidak menjawat apa-apa kapasiti dalam kabinet sendiri mendakwa Melayu tidak lagi berani.

Reformasi bukanlah semata-mata mengisi jadual demokrasi. Sebaliknya, reformasi adalah momentum yang tersembunyi sejak sekian lama apabila kezaliman diasak-asak, penindasan bertubi-tubi dan penganiayaan bertimpa-timpa. Dr. Mahathir tidak menyedari momentum ini, begitu juga pemimpin-pemimpin UMNO tidak pernah meninjau-ninjau kezaliman, penindasan dan penganiayaan yang berlaku.

Sejak sekian lama, mereka menyalahgunakan kuasa, mencabuli hak-hak asasi manusia dan menindas rakyat, maka apabila tiba kepada kemuncaknya, momentum tersebut tidak lagi dapat bersembunyi. Emosi rakyat ini ibarat gunung berapi hidup yang disangka mati. Mereka yang tidak menghampiri kawahnya tidak dapat merasai degup jantung gunung berapi itu. Mereka melihat dari jauh dan menyangka gunung berapi itu telah mati.

Kezaliman terhadap Anwar Ibrahim menyebabkan momentum tersebut meletup dan gunung berapi itu meletus. Rakyat yang selama ini memendam emosi nyata tidak dapat mengawalnya lagi. Maka, jadilah demonstrasi-demonstrasi yang menyebabkan kota metropolitan itu tersentak dengan kesedaran yang datang melimpah-limpah itu.

Inilah yang gagal difahami oleh Dr. Mahathir, UMNO dan BN. Dr. Mahathir menyangka demonstrasi yang ada hanyalah bersifat sementara, manakala kewujudannya hanyalah sebagai rutin demokrasi semata-mata. Silap faham dan silap tafsir inilah yang menyebabkan Dr. Mahathir tersilap langkah dan tariannya menjadi sumbang. Rakyat menyedari langkah yang silap dan tarian yang sumbang ini. Malang, Dr. Mahathir tidak menyedari hal ini.

Dr. Mahathir semakin silap apabila menanggap demonstrasi yang berlaku di mana-mana tempat sebagai, “Ia akan berterusan sehingga kerajaan dijatuhkan dan sebuah kerajaan baru dari parti pembangkang dibentuk. Penyokong kerajaan sebelumnya sekarang pula akan mengadakan mogok dan demonstrasi. Mengapa, sebab dalam sistem demokrasi, kamu dibenarkan melancarkan mogok dan demonstrasi.”

Mogok dan demonstrasi bukanlah diadakan semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan demi memberi peluang kepada pembangkang untuk membentuk kerajaan yang baru. Mogok dan demonstrasi juga bukan bergerak seperti roda, apabila mereka yang mogok dan berdemonstrasi berjaya menjatuhkan pemerintah yang ada, maka saki-baki pemerintah yang ada pula akan mogok dan berdemonstrasi untuk berbuat perkara yang sama.

Sebaliknya, mogok dan demonstrasi ini tercetus apabila kerajaan meminggirkan suara dan pandangan rakyat, sebaliknya bertindak dengan sewenang-wenangnya. Malah, banyak demonstrasi yang wujud bukanlah digerakkan oleh parti pembangkang, sebaliknya mereka yang tidak mempunyai kepentingan dengan pembangkang.

Demonstrasi rakyat di Medan Tiannenmen, China digerakkan oleh pelajar dan mahasiswa. Begitu juga demonstrasi di Korea Selatan, dicetuskan oleh mahasiswa untuk mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap bekas perdana menteri mereka untuk dihadapkan ke mahkamah. Manakala, demonstrasi di Indonesia adalah disebabkan juga oleh mahasiswa apabila regim ‘Suharta’ bermaharajalela memunggah harta negara untuk dimasukkan ke dalam perut pedal anak-beranak mereka.

Manakala, rakyat Iran bangkit memberontak untuk menentang regim Shah Iran dan kebangkitan itu dipelopori oleh ulama’ Syiah dan rakyat jelata [tidak lupa pasukan tentera sendiri yang tidak sanggup membunuh dan mencederakan sanak-saudara mereka. – peringatan terbaik buat FRU dan pasukan keselamatan pada masa-masa hadapan].

Tentulah di Malaysia, demonstrasi dan reformasi yang diadakan bukan dianjurkan oleh parti pembangkang. Malah, parti pembangkang sendiri tidak bertanggungjawab terhadap demonstrasi dan reformasi tersebut. Mereka digerakkan melalui internet, dan keesokan harinya, rakyat sudah pun berkumpul untuk melancarkan demonstrasi menuntut pembelaan ke atas Anwar Ibrahim dan perletakan jawatan Dr. Mahathir.

Keadilan hanya ditubuhkan lama selepas itu, manakala, untuk menuduh PAS, mereka yang menghadiri demonstrasi kebanyakannya adalah anak-anak muda yang tidak ada kaitan dengan parti itu [malah, pakaian mereka sendiri tidak melambangkan PAS]. Namun, anak-anak muda inilah yang menggerakkan demonstrasi dan reformasi setelah sekian lama kezaliman, penindasan dan penganiayaan berlaku.

Memanglah, kesan daripada demonstrasi itu bukanlah kesan yang minima. Bukan sahaja kerajaan, malah reformis tersebut sendiri terdedah kepada risiko yang bukan kepalang. Sekian ramai mereka, kalau pun tidak ditahan, mengalami kecederaan sepanjang demonstrasi tersebut. Apatah lagi dengan provokasi-provokasi yang dilakukan menyebabkan anak-anak muda tersebut mudah terdedah kepada bahaya.

Walau bagaimanapun, nyatalah, demonstrasi antara senjata yang ampuh apabila demokrasi dilanggar dan dirempuh sesuka hati. Yang merempuh dan melanggar ini tentulah bukan pembangkang, kerana apalah yang ada pada pembangkang untuk mencabul demokrasi. Parti yang memerintah mempunyai potensi yang besar untuk mengeksploitasi demokrasi dan mengukuhkan kedudukan mereka. Inilah yang diperjuangkan oleh anak-anak muda tersebut.

Malah, apabila pegawai-pegawai polis kulit putih yang membelasah Rodney King di Amerika Syarikat dibebaskan, maka rakyat kulit hitam merusuh. Rusuhan tersebut menyebabkan pegawai-pegawai yang telah pun bergembira buat seketika tersebut terpaksa dihadapkan kembali ke mahkamah. Inilah gambaran implikasi demonstrasi.

Seandainya kerajaan yang ada prihatin kepada kehendak masyarakat, tentulah tidak ada gunanya untuk rakyat berdemonstrasi. Seandainya kerajaan yang ada tidak bermaharajalela menceroboh dan mencabul demokrasi, tentulah rakyat tidak akan menanggung risiko untuk menuntut melalui demonstari.

Malangnya, kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang tidak prihatin, malah menceroboh dan mencabul demokrasi! Masihkah Dr. Mahathir tidak mahu mengerti hal ini?

Hj Mohnas