GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

Perhimpunan Rakyat di Stadium Bukit Jalil mendapat pertimbangan

KUALA LUMPUR 20 Sept (Hrkh) - Pihak pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini menimbang permohonan Jawatankuasa Khas Bulan Reformasi Parti KeAdilan Nasional untuk mengadakan perhimpunan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Ini merupakan permohonan kedua setelah permohonan pertama yang dibuat 6 September lalu ditolak oleh pengurusan Stadium tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa tersebut Haji Saari Sungib menyerahkan permohonan tersebut kepada pengurus Kompleks, En. Abu Bakar Kasim pada 1.40 tengahhari.

Setengah jam kemudian Haji Saari membuat pengumuman dihadapan lebih kurang 120 orang yang mengiringi secara konvoi dari hotel Mint ke Komleks sukan negera itu bahawa permohonan jawatankuasa ini telah diterima.

Sorakan Reformasi terus berkumandang seketika. Menurut Saari sebanyak RM21,000 telah dibayar sebagai cagaran manakala jumlah keseluruhan bayaran sebanyak lebih kurang RM 20,000 lagi akan dibayar kemudian.

Menurut Naib Presiden Keadilan yang turut serta , Tian Chua berkata bahawa wang tersebut merupakan wang rakyat yang berjaya dikumpulkan ketika malam sumpah keramat baru-baru ini.

Sebelum itu satu majlis sidang media yang diwakili oleh semua pemimpin dari BA di adakan di Mint Hotel bagi menjelaskan kepada kerajaan yang selama ini menganggap serong terhadap demontrasi jalanan yang dijalankan selama ini.

Menurut setiausaha Publisiti DAP, Ronie Liew, pihak polis seharusnya mengambil tindakan ke atas pemimpin Pemuda Umno yang memanjat pagar Dewan Perhimpunan Cina dahulu kerana bersikap tidak sopan dan membenarkan keAdilan dan BA menggunakan Stadium Bukit Jalil.

Katanya disStadium tersebut keadaan lebih terkawal dan tidak mengganggu sesiapapun.

Manakala menurut AJK PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, stadium tersebut adalah hak rakyat dan majlis-majlis keraian pernah dianjurkan oleh MCA dan Umno sendiri untuk kepentingan mereka.

Malah beberapa konsert Bollywood dan pelbagai jenis konsert dibenarkan untuk dijalankan.

Menurut Hatta lagi, adalah tidak demokratik sekiranya hak untuk mengadakan perhimpunan rakyat disekat.

Selain itu perhimpunan rakyat ini bertujuan untuk memperingati lebih dua tahun bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim di penjara.