GERAKAN REFORMASI RAKYAT |
Pedas-Pedas Cili Api 151 (20hb September 2000)
Arahan Baru Untuk BPR?
Cili Api lihat PM Dr M @ Cek Det sudah memberikan arahan baru kepada BPR. Apabila ditanya oleh wartawan di Sabah, mengenai kes Perwaja dan apa tindakan yang akan diambil terhadap Tan Seri Eric Chia, Cek Det menjawab, ?Selagi kita tidak dapat bukti, kita tidak dapat ambil apa-apa tindakan?. Bunyi jawapan itu memang munasabah, tetapi apakah yang tersirat sebaliknya?
Cek Det dilaporkan sebagai berkata, ?Ada rakyat Malaysia yang berada di luar negara tahu di mana sebenarnya wang milik Syarikat Perwaja disimpan?. Selanjutnya beliau bermadah, ?Sehingga kini kerajaan belum dapat lagi bertemu dengan mereka untuk mendapatkan maklumat ?? bukan mudah mendapatkan maklumat apabila wang dibawa keluar dan disimpan di tempat tertentu?.
Skandal Perwaja ini sudah lebih daripada empat tahun didedahkan. Kalau kerajaan sudah tahu siapa rakyat Malaysia yang terlibat dengan kehilangan wang berjumlah lebih RM76 juta itu, apakah yang telah dilakukan? Cili Api ingin tahu apa-apa dia langkah yang telah diambil, dan apa dia masalah yang dihadapi oleh BPR. Badan ini mesti terbuka dan telus.
Sejak bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan waktu itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan kerugian Perwaja, sudah diketahui umum bahawa ada perkara yang tidak kena. Jumlah yang tersebut di atas itu telah dibayar melalui Syarikat Frilsham di Hongkong kepada NKK Incorporated, yang ternyata tidak wujud. Ada dokumen yang menunjukkan arahan kepada bank untuk membuat bayaran telah ditandatangani oleh Eric Chia. Apakah siasatan yang telah dilakukan oleh BPR atas perkara ini selama empat tahun yang lalu?
Nampaknya BPR memang sengaja melengahkan siasatan. Berbagai-bagai pihak telah membangkitkan tentang kelengahan ini, dan setiap kali jawapan BPR sama saja, iaitu ?Susah hendak mendapatkan maklumat dari luar negeri?. Bagi Cili Api soalannya mudah saja. Mengapakah Eric Chia meluluskan bayaran kepada syarikat yang tidak wujud? Sejauh manakah maklumat telah dikumpulkan daripada beliau mengenai masalah ini?
Skandal Perwaja timbul balik kerana Eric Chia mendakwa beliau telah dapat mengumpul segala maklumat seta dokumen yang diperlukan dari Chile, Brazil, Itali dan Jepun untuk membersihkan dirinya. Katanya beliau dapat mengumpulkannya dalam enam bulan saja. Mengapakah selepas empat tahun lebih, BPR tidak mempunyai cukup maklumat untuk bertindak? Tidak bolehkah diambil tindakan ke atas Eric Chia kerana meluluskan bayaran kepada syarikat yang tidak wujud? Jikalau tidak, Cili Api ingin mendapatkan penjelasan yang meyakinkan daripada Ketua Pengarah BPR.
Sekarang Cek Det menguatkan lagi alasan yang diberi oleh BPR selama ini, dengan menyatakan susah hendak mendapat maklumat dan BPR tidak boleh bertindak melainkan ada maklumat. Sebenarnya, kenyataan Cek Det ini bukan kenyataan semata-mata. Di sebaliknya tersirat ?amaran serta arahan? kepada BPR. Cili Api percaya Ketua Pengarah BPR, Datuk Zaki Hussein, akan mengikut dengan penuh taat setia.
Seperti biasa, Dek Det memberi ?amaran dan arahan? secara tidak langsung melalui kenyataan umum. Barangkali ini selepas memberi ?amaran dan arahan? langsung kepada pegawai yang berkenaan. Ini pernah dilakukan olehnya kepada bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya, berhubung kes bekas Gabenor Bank Negara. Datuk Shafie telah mengakui dengan kenyataan bersumpah dalam Mahkamah bahawa Cek Det telah memberi ?amaran dan arahan? supaya siasatan ke atas bekas Gabenor BN itu diberhentikan.
Tidak ada apa pun tindakan yang diambil oleh polis ke atas salah guna kuasa oleh Cek Det ini. Walaupun laporan-laporan polis telah dibuat mengenainya. Anwar telah dibicara dan dihukum enam tahun kononnya kerana menyalah guna kuasa dengan memberi arahan kepada polis supaya memberhentikan penyiasatan mereka berhubung kesnya. Jikalau Anwar dibicara dan dihukum kerana salah guna kuasa, mengapa Cek Det dilepaskan begitu saja? Adakah kerana ia maha berkuasa?
Sebenarnya, apabila Cek Det mengatakan BPR tidak boleh bertindak selagi tidak ada maklumat, beliau adalah memberi ?amaran dan arahan? kepada Ketua Pengarah BPR sekarang. ?Amaran dan arahan? itu ialah supaya beliau berhentikan siasatan untuk mengumpulkan maklumat dan berhentikan apa juga hasrat serta usaha hendak mengambil tindakan terhadap Eric Chia. Cek Det telah melindungi Eric Chia selama hampir lima tahun. Dia mahu terus melindungi kawan baiknya sehingga akhir hayat.
Cek Det tahu bahawa dalam Malaysia Boleh ini, beliau boleh membuat ?amaran dan arahan? yang akan ditaati. Sebagai satu contoh saja, misalannya, semasa Anwar sedang dibicarakan, Cek Det berulang-ulang kali menuduh secara umum bahawa Anwar memang bersalah kerana salah laku seks. Sebab dia PM, Hakim tidak berani mengambil tindakan, walaupun beliau menghina mahkamah. Sebab dia PM yang maha berkuasa, Hakim tidak berani menjatuhkan hukuman lain daripada yang dikehendaki beliau, walaupun Hakim menyedari saksi utama dan banyak bukti yang dikemukakan berdolak-dalik dan tidak boleh dipercayai.
Cek Det mengetahui benar bahawa Ketua Pengarah BPR tahu apa yang patut dilakukan oleh beliau untuk melindungi sahabat karib yang bernama Eric Chia itu. Tak usah kiralah bahawa di bawah urusannya, Perwaja terpaksa membeban hutang terkumpul kira-kia RM7 bilion, kerugian hampir RM3 bilion, dan kehilangan RM76 juta yang dibayar kepada syarikat yang tidak wujud. Bagi Cek Det, dalam Malaysia Boleh, segala-galanyanya boleh. Melindungi atau menyelamatkan kroni memang boleh benar!
Cili Api