Make your own free website on Tripod.com
GERAKAN REFORMASI RAKYAT
 

 ISU ROYALTI MINYAK DI TERENGANU

Saudara Pengarang,

Isu royalti petroleum perlu ditanggapi secara betul. Kita boleh melihat isu ini dari sudut yang pelbagai samada dari sudut konsep federalisme, dari sudut undang-undang, dan dari sudut keadilan.

 

Pelbagai pendapat dikemukakan dari media berasaskan tiga sudut pandangan ini. Masing-masing mempunyai asas dan hujah. Umpamanya jika bercakap dari sudut konsep federalisme, mereka yang menyokong tindakan kerajaan Persekutuan akan berkata bahawa tidak wajar hanya Terengganu sahaja yang menikmati hasil minyak sedangkan kita semua sama sebagai rakyat Malaysia. Rugilah rakyat negeri lain yang Allah tidak takdirkan ada minyak dalam perut buminya.

 

Hujah ini nampak logic tapi masih boleh disanggah. Penyokong BA akan menjawab, kalau macam itu kenapa hasil duti eksport bijih timah (10%) dinikmati oleh negeri yang ada lombong bijih sahaja. Mereka juga boleh menjawab, kenapa kita tidak sumbangkan hasil negara secara saksama kepada rakyat di negara-negara miskin di negara lain. Mereka juga manusia. Rugilah rakyat di negara lain yang Allah tak kurniakan hasil minyak.

 

Ringkasnya, kewujudan negara dan negeri adalah ciptaan manusia. Konsep kedaulatan negara dan konsep federalisme juga ciptaan manusia. Untuk menentukan hak, kita tetap terpaksa merujuk kepada undang-undang. Undang-undang ini biasanya dibuat dengan mengambilkira pelbagai faktor seperti faktor sejarah, kaum dan ekonomi untuk menjadikannya adil.

 

Bagi penentang tindakan kerajaan Persekutuan mereka akan mengatakan bahawa kerajaan Persekutuan tidak menghormati sistem federalisme. Hujah ini ada asas tapi perlu diteliti. Federalisme adalah alat perundangan. Ia adalah pilihan kedua selepas sistem unitari atau kesatuan. Jika rakyat sesebuah negara itu tidak boleh menerima sistem unitari (seperti gagasan Malayan Union), maka sistem federalisme akan dihulurkan sebagai alternatif. Kandungannya adalah pembahagian kuasa. Pembahagian kuasa ini didokong oleh Perlembagaan, satu dokumen undang-undang yang tertinggi. Pembahagian kuasa ini adalah sebahagian dari undang-undang. Jadi kalau anda ingin menyanggah cadangan kerajaan Pusat diatas dasar sistem federalisme, anda akhirnya terpaksa merujuk kepada undang-undang.

 

Melihat dari sudut undang-undang, sebenarnya kedua-dua belah pihak mempunyai asas. Penyokong cadangan kerajaan Pusat akan bersandarkan kepada Konvensyen mengenai Laut Wilayah dan Pelantar Benua 1958 yang disahkan melalui akta Pelantar Benua 1966. Juga beberapa peruntukan di dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan akta yang terdahulu iaitu Akta Perlombongan Petroleum 1966. Hujahnya kawasan yang diterokai itu di luar dari sempadan negeri jadi ia tidak termasuk di bawah kekuasaan kerajaan negeri. Jadi Terengganu sepatutnya tidak berhak untuk mendapat hasil tersebut. Apa yang diperolehi selama ini adalah ihsan sahaja

 

Bagi penyokong kerajaan negeri Terengganu pula, mereka akan bersandarkan kepada Perjanjian Petronas-Kerajaan terengganu dan akta Pembangunan Petroleum. Mereka berhujjah bahawa mereka mempunyai hak berdasarkan Perjanjian tersebut dan peruntukan Seksyen 4 APP.

 

Saya tidak bercadang untuk berbincang panjang berkenaan undang-undang. Secara ringkasnya, kedua-dua pihak mempunyai hujah perundangan yang kuat dan tersendiri. Setiap undang-undang tertakluk kepada tafsiran. Penafsirnya adalah mahkamah. Persoalannya sejauh manakan kita boleh mempercayai mahkamah. Selepas pemecatan Tun Salleh dan isu Anwar Ibrahim keyakinan terhadap kebebasan mahkamah diragui bukan sahaja oleh rakyat bahkan juga oleh badan-badan antarabangsa yang telah membuat tinjauan.

 

Di samping itu perlu diingat, undang-undang boleh dipinda bila-bila masa. Kalau kerajaan Persekutuan kalah di dalam kes ini saya yakin Dr Mahathir akan membuat pindaan undang-undang. Inilah yang selalu dilakukan oleh kerajaan BN, sejak dari dulu. Kerajaan Persekutuan pernah kalah kepada kerajaan negeri dalam kes Kelantan pada 1968 dulu. Mahkamah putuskan bahawa transaksi yang dibuat oleh kerajaan Kelantan bukan satu ‘hutang’ jadi ia tidak perlu kelulusan kerajaan Persekutuan. Selepas kalah, kerajaan Persekutuan pinda Perlembagaan untuk mendefinisikan semula maksud ‘hutang’ sesuai dengan kehendaknya.

 

Ringkasnya undang-undang juga tidak lagi boleh dianggap adil. Oleh yang demikian kita terpaksa merujuk kepada realiti yang berlaku untuk menentukan sikap kita. Bagi saya tindakan kerajaan Persekutuan adalah tidak wajar. Ini berasaskan beberapa perkara:

  1. Tindakan dibuat dengan alasan kerajaan Terengganu tidak tahu menguruskan wang. Tuduhan ini dibuat tanpa bukti.
  2. Umur Kerajaan PAS Terengganu belum pun sampai setahun. Sepatutnya ia diberi peluang untuk membuktikan konsep pemerintahan BA seperti yang dicanangkan
  3. Terengganu masih lagi negeri yang miskin. Jadi alasan pemberian royalti yang dikemukakan dulu masih relevan
  4. Kerajaan BN Terengganu bersama-sama sokongan BN Pusat terbukti gagal membasmi kemiskinan di Terengganu dan mengagihkan kekayaan dengan adil. Tempoh 25 tahun peluang yang diberikan cukup lama. Adakah kegagalan ini mahu diulangi oleh JPP agensi kerajaan BN Pusat.
  5. Jika wang yang banyak selama ini gagal disalurkan kepada rakyat, ini bermakna ada penyalahgunaan wang rakyat. Walau pun belum ada bukti yang jelas, banyak senario yang boleh menunjukkan wang rakyat diselewengkan oleh pemimpin BN dipelbagai peringkat. Adakah ini mahu diulangi.
  6. Negeri Terengganu menerima pengiktirafan oleh Transparency International atas ketelusan pentadbiran khasnya dalam memberikan peranan kepada Badan Hisbah
  7. Kerajaan BN Persekutuan terlibat dalam berbagai projek pembaziran, rasuah dan bermacam-macam kes yang menunjukkan kegagalan menguruskan wang rakyat. Sementara kerajaan Terengganu belum terbukti melakukan pembaziran dan penyelewengan.

 

Jadi, inilah asas yang mendorong saya membuat keputusan membantah cadangan kerajaan Persekutuan untuk membatalkan royalti. Ia bukan berasaskan undang-undang dan sistem federalisme. Ia berasaskan keadilan dan kewajaran.

 

Setakat ini kedua-dua pihak rancak bercakap dari sudut undang-undang. Tun Salleh Abas menjadi juara di pihak kerajaan Terengganu, dan Dr Rais Yatim menjadi juara bagi pihak kerajaan Persekutuan. Mereka berdua pakar dalam undang-undang. Tapi adakah undang-undang satu asas yang kuat untuk mereka berpijak. Jika pertentangan ini berakhir di forum undang-undang, saya yakin kerajaan Persekutuan akan pasti menang.Kerajaan Terengganu akan ‘dipenjarakan’ oleh undang-undang sebagaimana yang dihadapi oleh Anwar dan Lim Guan Eng.

 

Oleh itu, BA Pusat dan kerajaan Terengganu diharap tidak menjadikan mahkamah sebagai saluran terakhir. Saluran lain yang luas boleh digerakkan. Isu ini bukan isu Terengganu sahaja. Ia isu keadilan, penyelewengan wang rakyat, penindasan, dan demokrasi. Rakyat perlu diberi kesedaran. Penyelewengan BN di Terengganu dahulu dan BN Pusat di bawah Dr Mahathir perlu dibongkor sehebat-hebatnya. Ringkasnya, saluran yang terbaik dan terakhir adalah saluran politik melalui gerakan kesedaran rakyat. Jangan kita terlalu bergantung kepada mahkamah dan undang-undang, takut-takut nanti kita kecundang sebelum berjuang.

 

 Farhah Rusyda